TRAVELOG TURDA 5.0 [Azliyana Azmi] [Hari 1]

Travelog TURDA 5.0
Hari ke 1 (Ahad)
28/1/2018

Persiapan terakhir telah diselesaikan. Segala amanat telah disampaikan dan digenggam kemas. 7 anak muda dari Universiti Selangor akan memulakan misi pendidikan di pedalaman Sabah iaitu di Kg Sumbilingon, Kg. Melinsau Darat dan Kg. Tanid. Misi kali ini diketuai oleh Saudara Amin Shah yang merupakan Timb. Presiden Grup Sukarelawan Darul Ehsan (De Volunteer) dengan kekuatan ahli seramai 7 org iaitu Hanim, Syahira, Masitah, Azliyana, Aisyah, Farzana dan Fathin. Misi kali ini memberi fokus kepada misi pendidikan untuk kanak-kanak di Sk Sri Gabungan, Kg Sumbilingon, Ranau, Sabah. Pendidikan sangat penting pada masa kini kerana dengan pendidikan banyak hal dapat diubah termasuk kehidupan seseorang. Dalam Al-Quran, Allah SWT telah berfirman dalam surah At-Taubah yang bermaksud,
 “ Tidak sepatutnya bagi mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat dirinya..”

Kami tiba di KLIA2 dan terus mencari tempat untuk menunggu sementara menanti jam 4 untuk check in baggage. Sambil duduk berehat, kami mengadakan sedikit perbincangan di samping membetulkan kembali niat masing-masing serta tujuan asal menyertai misi ini. Selesai solat subuh & bacaan Al Mathurat, kami menaiki pesawat Air Asia untuk berlepas ke Kota Kinabalu. Pesawat berlepas tepat jam 7.20 a.m dan kami dapat melihat pemandangan yang begitu indah sekali. Awan kelihatan seperti gumpalan kapas putih yang sangat bersih. Perjalanan ke Sabah mengambil masa selama lebih kurang 2 jam 30 minit.

Alhamdulillah kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kedatangan kami di sambut oleh Shakiya Ussen, senior De Volunteer. Kami meneruskan perjalanan ke Ranau yang mengambil masa selama 3 jam dgn menaiki van yang dipandu oleh En. Eiwan. En. Eiwan telah membawa kami ke sebuah pasaraya untuk membeli sedikit barang keperluan dan seterusnya menghantar kami ke Rumah Putra Harapan (RPH). Kami tiba di RPH dan disambut oleh aunt Anisah dan anak-anak di RPH. Mereka kelihatan gembira dengan kedatangan kami. Setibanya di sana, kami terus mendirikan solat jama' taqdim (zohor&asar). Selepas solat kami berborak dengan anak-anak di RPH. Aunt Anisah juga menceritakan serba sedikit mengenai jadual harian anak-anak di RPH.
Selesai solat asar, kami mengadakan sesi taaruf bersama anak-anak di situ. Pada mulanya mereka agak pemalu namun mereka mula selesa dengan kedatangan kami. Petang itu juga kami beriadah bersama mereka. Utk makan malam, aunt anisah berbaik hati  memasak makanan utk kami bersama dengan anak-anak di RPH.  Selepas solat isya, kami mengadakan sesi perbincangan bersama dengan ust Sabri (Abim Ranau) bagi menperjelaskan lagi perjalanan kami di Kg Sumbilingon nanti.
Selepas berbincang, kami mengadakan postmortem utk hari pertama, update kewangan, update prestasi diri dan menulis surat (positif vs negatif). Bagi saya, amat penting untuk kita sentiasa muhasabah diri dengan melihat kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang satu hari yang telah berlalu dan melalui penulisan surat kepada setiap ahli kumpulan itu merupakan salah satu cara yang terbaik untuk refleksi diri kita. 

Perjalanan kali ini sangat memberi kesan kepada saya di mana saya telah merasakan betapa besarnya kuasa Allah itu. Ciptaan Allah itu sangat indah dan Dia Maha Berkuasa terhadap alam. Keindahan yang ada di dunia ini sebenarnya masih belum mampu untuk menandingi keindahan syurga Allah di akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 57 bermaksud,

“ Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kelak kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang didalamnya mengalir sungai-sungai..” 

Jadi, ayuhlah kita bersama-sama mengejar syurga Allah, InshaAllah.

Nor Azliyana Azmi
Sukarelawan Misi TURDA 5.0,
Rumah Putra Harapan, Ranau, Sabah // 28.1.2018



Comments